YouTube
ialah laman web perkongsian video yang
disukai ramai dan yang membenarkan penggunanya memuat naik, menonton, dan
berkongsi klip video. Video-videonya boleh dinilai,
dengan kedua-dua pemeringkatan purata serta kekerapan video itu ditonton
dipaparkan.
Diasaskan
pada Februari 2005
oleh tiga orang bekas pekerja PayPal, Youtube yang berpusat di San Bruno mempergunakan
teknologi Adobe Flash
untuk memaparkan video. Jenis kandungan laman web ini amat meluas dan
merangkumi klip-klip filem,
rancangan televisyen, dan video muzik,
serta kandungan amatur seperti videoblog dan video ringkas yang asli.
Syarikat ini yang kini menggaji 57 orang pekerja dinobatkan "Rekaan
Terbaik untuk Tahun 2006" oleh majalah TIME. Pada Oktober 2006, Syarikat Google Inc.
mengumumkan bahawa ia telah mencapai persetujuan untuk memperoleh YouTube pada
harga AS$1.65 bilion dalam bentuk saham Google. Urus niaga
tersebut selesai pada 13 November 2006.
YouTube
diasaskan bersama-sama oleh Chad Hurley, Steve Chen, dan Jawed Karim yang kesemuanya merupakan
pekerja perintis PayPal. Sebelum PayPal, Hurley belajar reka bentuk
di Universiti Indiana Pennsylvania,
manakala Chen dan Karim belajar sains
komputer bersama-sama di Universiti
Illinois di Urbana-Champaign. Nama domain "YouTube.com"
diaktifkan pada 15 Februari 2005, dan laman web
dibangun pada bulan-bulan yang berikut. Pencipta-penciptanya memberikan orang
ramai sebuah pratonton tentang laman web mereka pada Mei 2005 dan enam bulan
kemudian, YouTube muncul buat pertama kali secara rasmi.
Serupa
dengan banyak syarikat teknologi yang baru, YouTube bermula sebagai sebuah
usaha di sebuah pejabat
yang kecil dan murah. Pada November 2005, Sequoia Capital, syarikat modal usaha niaga, melabur
AS$3.5 juta; selain itu, Roelof Botha, pekongsi syarikat serta
bekas Ketua Pegawai Kewangan
PayPal, menyertai lembaga pengarah YouTube. Pada April 2006,
Sequoia melabur lagi AS$8 juta dalam syarikat itu yang telah mengalami
kepopularan dan pertumbuhan yang pesat dalam hanya beberapa bulan pertama
kewujudannya.
Pada
musim panas 2006, YouTube menjadi salah satu laman web yang paling pesat
pertumbuhannya dalam Jaringan Sejagat, dan ditempatkan oleh Alexa sebagai laman web yang kelima
terpopular, iaitu jauh mengatasi juga pertumbuhan laman web MySpace.]
Menurut sebuah tinjauan pada 16 Julai 2006, 100 juta klip ditonton di YouTube pada setiap hari,
dengan sebanyak 65,000 video baru dimuat naik setiap 24 jam. Menurut
Nielsen/NetRatings, Youtube dikunjungi oleh hampir 20 juta pengguna setiap
bulan, dengan sekitar 44% penontonnya merupakan
wanita, dan 56% lelaki. Kumpulan yang berumur antara 12 hingga 17 tahun
merupakan penontonnya yang terutama. Keunggulan Youtube dalam pasaran video
dalam talian adalah amat mengejutkan. Menurut laman web Hitwise.com, YouTube
menguasai 64% daripada pasaran video dalam talian di United
Kingdom.
Pada
9 Oktober
2006, Youtube mengumumkan
bahawa ia akan diperoleh oleh Google pada harga AS$1.65 bilion dalam bentuk saham. Perjanjian pembelian antara
Google dan YouTube datang selepas YouTube memeterai tiga buah perjanjian dengan
syarikat-syarikat media dalam satu percubaan untuk mengelakkan tuntutan-tuntutan mahkamah terhadap
pelanggaran hak cipta.
YouTube akan terus beroperasi secara bebas, dan kesemua pekerja syarikat serta
pengasas-pengasas bersamanya akan terus bekerja di dalam syarikat. Urus niaga
untuk memperoleh YouTube selesai pada 13 November, dan merupakan pembelian
Google yang terbesar setakat ini.
Pada
November 2008, YouTube mencapai persetujuan dengan MGM, Lions Gate Entertainment
dan CBS
yang membolehkan ketiga-tiga syarikat tersebut memuatkan filem-filem dan
rancangan televisyen sepenuhnya di laman YouTube, asalkan disertakan iklan,
sebagai langkah menyaingi laman-laman video lain seperti Hulu, yang memaparkan bahan-bahan terbitan NBC, Fox, dan Disney.

No comments:
Post a Comment